BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, August 25, 2009

Buih2 Dilautan..banyak tp?




Tadi sewaktu kelas, Kuliah nasionalisme Dan masyarakat Minoriti seputar jam 10am. Lect sy membincangkan tentang Gerakan pemisahan di Asia Tenggara. Saya tertarik dgn satu penyataan Lect saya yg berbunyi lbih kurg begini:
"...cleansing Ethnic yang berlaku adalah melibatkan orang2 Muslim.."Knapa perkara ini berlaku?soalan Lect saya itu cukup membuatkan saya terbangun dari tidur yg alpa.
Jika dilihat Gerakan pemisah yg cuba diwujudkan adalah untuk mengembalikan hak masyarakat minoriti yang cuba dinafikan hak mereka dari segi ekonomi, politik dan soaial mereka.Jika ditinjau, masarakat minoriti di Asia tenggara ini majoritinya adalah beragama Islam. Misalnya Masyarakat Morro di Filippina, Masyrakat Melayu Pattani di Thailand, Orang2 Champa di Vietnam adalah melibatkan golongan muslim. Mengapa berlaku penghapusan etnik dikalangan masyarakat Muslim??

Begitu tertarik saya dengan kuliah yg disampaikan oleh Lect saya hari ini..Umat akhir zaman adalah ramai dan banyak, ibarat buih di lautan..yg lemah kerana walaupun ramai dan banyak, teapi tidak bersatu- padu. Lihat apa ang disiarkan oleh Utusan Malaysia:
"ARKIB : 09/01/2005
Tsunami dedah kelemahan umat -- Orang Islam gagal menguasai ilmu sains, teknologi, politik dan ekonomi

Oleh Zin Mahmud


WALAUPUN bencana tsunami tidak mengenal bangsa dan agama tetapi ternyata malapetaka 26 Disember mengorbankan lebih banyak orang Islam daripada penganut agama lain.

Indonesia saja melalui Aceh yang merupakan wilayah Islam sudah menyumbangkan lebih 100,000 korban. Negara-negara Islam lain yang turut dilanda tsunami ialah Malaysia, Maldives, Somalia, Tanzania dan Bangladesh.

Bagaimanapun, korban tsunami di Sri Lanka dan India juga banyak daripada kalangan umat Islam. Galle di Sri Lanka merupakan sebahagian daripada wilayah penempatan orang Islam. Begitu juga di Tamil Nadu, India yang mempunyai banyak penduduk Islam. Malah wilayah Myanmar yang dilanda tsunami juga dipercayai daripada kalangan Islam kerana Arakan terkenal dihuni oleh bangsa Rohingya. Suku kaum Islam ini dinafikan hak kewarganegaraan oleh Yangon.

Walaupun mereka yang terkorban di Phuket, Thailand adalah kebanyakannya pelancong asing serta penduduk bukan Islam, tetapi dari segi sejarah, wilayah itu merupakan sebahagian daripada kawasan selatan Thailand yang menjadi rantau Melayu Islam. Phuket asalnya daripada perkataan `bukit'.

Malah di pesisiran Afrika Timur, kawasan yang dilanda tsunami itu adalah penempatan orang Islam. Ini kerana sememangnya dari segi sejarahnya, kebanyakan orang Islam di sekitar Lautan Hindi bermukim di pesisiran laut.

Ini kerana Islam bukan saja agama padang pasir tetapi juga agama laut atau maritim. Sebabnya ialah orang Islam berdagang dan berdakwah melalui laut.

Malah Lautan Hindi adalah sebenarnya lautan Islam dengan dikaitkan kepada kegemilangan laluan dagang pada zaman keagungan khalifah dan sultan yang memerintah Asia Barat, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika Timur.

Ketika itu, pelabuhan paling terkenal ialah Basrah di Iraq yang berkhidmat untuk Baghdad, ibu kota Khalifah Abasiah. Dari Basrah, keluarlah kisah-kisah pelayaran Ibn Batutah dan legenda Sinbad. Malah Sinbad digambarkan belayar hingga ke Kemboja.

Walaupun kemudian Baghdad tumbang di tangan Moghul tetapi laluan laut tetap di tangan orang Islam. Kapal-kapal dagang dan dakwah sampai ke pesisiran Afrika Timur dan mewujudkan penempatan-penempatan Islam di Somalia dan Kenya. Sultan Zanzibar di Tanzania mempunyai pelabuhan yang sibuk berkhidmat bagi pesisiran pantai benua itu hingga ke Afrika Selatan.

Sementara di India di bawah pemerintahan Moghul, pelabuhan-pelabuhan seperti Goa muncul untuk menjadi pusat laluan kapal dari kawasan Arab dan Afrika untuk ke Asia. Sebahagian daripada Tamil Nadu yang turut pernah diperintah oleh raja Islam mempunyai pelabuhan di Madras (daripada perkataan madrasah dan kini dikenali sebagai Chennai) yang mempunyai laluan hubungan hingga ke Benggala, Burma dan seterusnya Asia Tenggara. Sri Lanka turut mempunyai pelabuhan yang melengkapkan laluan kapal-kapal pedagang Islam.

Pada masa inilah pelabuhan-pelabuhan milik Muslim turut muncul di Asia Tenggara. Pendakwah dari Arab, Parsi dan India telah berjaya menyebarkan Islam ke kepulauan Melayu. Mula-mula pelabuhan Raja Samudera di Sumatera yang memeluk agama Islam.

Samudera ini terletak di sekitar Aceh hari ini. Kemudian satu per satu negeri Melayu di Sumatera memeluk Islam termasuklah Aceh. Banda Aceh menjadi pelabuhan persinggahan pedagang dan pendakwah.

Kegemilangan

Pengaruh Islam ini tersebar dan pelabuhan-pelabuhan milik Muslim wujud di Jawa, Kalimantan, Maluku, Sulawesi hinggalah ke Mindanao.

Pengaruh Islam sampai ke Pattani dan Champa di Vietnam.

Tetapi paling bermakna bagi orang Melayu ialah kemunculan Kesultanan Melaka yang menjadi pelabuhan penting Islam di Asia Tenggara. Kegemilangan Melaka ini dapat dipertahankan kerana China di bawah dinasti Ming mempunyai istana yang dipengaruhi kuat oleh pembesar Islam.

Mereka pula mengambil polisi untuk menjadi negara maritim. Cheng Ho yang beragama Islam belayar hingga ke Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat.

Pelabuhan Zaytun di China terkenal sebagai pusat perdagangan Islam. Dinasti Ming hampir menjadi Islam dan kekuatannya membolehkan Melaka mengelak daripada penjajahan Siam.

Ketika itu sememangnya, umat Islam adalah kuasa besar dan seluruh Lautan Hindi dikuasai mereka.

Kekuatan Islam itu runtuh dengan kemunculan Portugis yang merintis penguasaan Barat ke atas Lautan Hindi. Portugis menguasai Goa, Melaka hinggalah ke Maluku dan Timor Leste.

Kejatuhan Melaka memaksa operasi pedagang Islam berpindah ke Banda Aceh. Tetapi kemunculan pelabuhan ini menarik minat Belanda yang bertubi menyerang dan mahu menguasainya.

Aceh menjadi negara terakhir yang dikuasai Belanda. Tetapi ketika itu Lautan Hindi telah dikuasai oleh penjajah Barat sama ada Britain atau Perancis.

Sejak itu umat Islam di seluruh rantau Lautan Hindi semakin lemah. Walaupun selepas Perang Dunia Kedua, muncul negara-negara Islam merdeka seperti Pakistan, Bangladesh, Malaysia, Indonesia, Somalia dan Tanzania tetapi mereka gagal menjadi negara maju. Ini berlaku walaupun kekayaan minyak dinikmati oleh banyak negara Islam baik di negara-negara Arab mahupun Malaysia dan Indonesia.

Aceh juga terkenal sebagai wilayah yang kaya dengan minyak.

Tetapi negara-negara Islam di pesisiran Lautan Hindi dirundung dengan pelbagai masalah kritikal daripada kemiskinan, kejahilan hinggalah urus tadbir buruk oleh kepimpinan masing-masing yang kebanyakannya korup.

Lihatlah negara-negara Islam yang dilanda tsunami baru-baru ini. Somalia masih tidak bangkit daripada perang saudaranya dahulu. Tanzania pula dianggap miskin.

Sementara kedudukan orang Islam di Sri Lanka tersepit antara kerajaan bermajoriti Sinhala dengan pemisah Tamil Eelam. Kedudukan umat Islam di India tidaklah begitu baik. Umat Islam di Myanmar amat tersisih dan tertinggal. Begitu juga di Thailand yang masih bergolak. Phuket yang pernah satu masa dimiliki umat Islam sudah terlepas. Malaysia lebih bernasib baik tetapi umat Islam di Pulau Pinang juga ketinggalan.

Tetapi nasib paling buruk dihadapi oleh Aceh kerana sejak negara itu ditakluk Belanda dan Indonesia terbentuk, wilayah yang kaya minyak itu gagal dibangunkan. Mereka disisihkan baik semasa Sukarno mahupun Suharto. Selepas kejatuhan Suharto, peperangan antara tentera Indonesia dan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menjadikan penduduk wilayah itu menanggung kesengsaraan.

Maka apabila berlaku bencana tsunami ini, penderitaan dahsyat lebih ketara. Banyak orang Aceh beranggapan Jakarta tidak bersungguh-sungguh membantu mereka. Bukan saja bantuan lambat tiba tetapi armada tentera laut Indonesia dianggap gagal berusaha untuk menyelamat mangsa yang terapung-apung di laut berhampiran Meulabuh.

Banyak orang Aceh tidak percaya pada kesungguhan Jakarta. Kelemahan Indonesia yang merupakan negara paling besar penduduk Islam di dunia itu mencerminkan kelemahan umat Islam keseluruhannya.

Tetapi hakikat bahawa tsunami ini meragut banyak nyawa orang Islam di seluruh pesisiran Lautan Hindi itu menunjukkan kegagalan umat Islam untuk mencapai kecanggihan sains dalam bidang seismologi dan teknologi sistem amaran awal.

Indonesia yang tentunya sedar tentang kedudukan geologi mereka tidak berupaya untuk memiliki sistem amaran awal seperti yang dimiliki oleh Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Kelemahan Indonesia mendatangkan kesan buruk kepada semua negara Islam lain. Ini kerana jika mereka canggih dan maju sudah tentu sistem ini dapat dirangkaikan pada kesemua negara lain di rantau Lautan Hindi.

Sebab kedaifan ini, maka umat Islam tidak mempunyai persediaan untuk menghadapi bencana ini. Sesungguhnya, keselamatan umat Islam telah terjejas akibat kemunduran ini. Keadaan buruk ini menjadi lebih teruk apabila umat Islam tidak mampu membantu sesama sendiri.

Kekerasan

Akhirnya yang banyak membantu adalah negara-negara Barat yang diketuai AS. Bukanlah kerana negara-negara Arab tidak menghulurkan bantuan tetapi Barat lebih cepat dan cekap. Arab Saudi dan Kuwait memberi banyak bantuan tetapi mereka tidak dapat menyaingi negara Barat.

Dalam rantau Asia Tenggara sendiri, Singapura mengalahkan negara Islam lain dalam menunjukkan prihatin tersendiri dengan memberi bantuan besar kepada Aceh. Begitu juga dengan China.

Dipercayai badan-badan kebajikan Eropah dan AS yang berasaskan pada Kristian turut memberi sumbangan besar. Vatican sendiri telah menyeru supaya bantuan dihulurkan.

Bagaimanapun, akhirnya AS juga yang menampilkan kemampuannya untuk menghantar kapal besar mereka Abraham Lincoln. Mereka mampu menggunakan helikopter untuk menghantar bantuan dan menyelamatkan mangsa di lautan. Adalah dipercayai AS sampai dahulu daripada negara Islam di banyak tempat di Aceh.

Malaysia sendiri telah membuka laluan bagi AS di Langkawi untuk mengirim bantuan. Malah andai kata Indonesia membenarkan, banyak keluarga Kristian di Eropah yang bersedia untuk mengambil anak-anak yatim Aceh sebagai anak angkat.

Sungguh jelas kelemahan umat Islam yang tidak dapat membantu diri sendiri. Malaysia hanya mampu menyeru agensi-agensi kebajikan anak yatim di negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk membantu rakyat Aceh.

Banyak kalangan umat Islam yang gemar untuk menyifatkan bencana tsunami ini sebagai hukuman daripada Allah kerana manusia enggan mematuhi perintah-Nya. Apakah perintah-Nya itu?

Allah memerintahkan umat Islam supaya berilmu. Kalau dilihat daripada akibat yang ditanggung oleh umat Islam di rantau Lautan Hindi ini dapat dirumuskan bahawa hukuman itu dikenakan kerana umat Islam tidak membangunkan diri.

Andai kata umat Islam mencapai kecemerlangan dalam bidang politik, ekonomi, pertahanan, sains dan teknologi, maka ia mampu mewujudkan perdamaian dan sepakat sesama sendiri di samping membangunkan sistem amaran awal tsunami.

Malah umat Islam yang maju akan dapat membantu orang lain tanpa mengira agama. Orang Islamlah yang patut mampu menghulur bantuan kepada orang lain seperti kepada penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian di Thailand, Sri Lanka dan India.

Tetapi hakikatnya sekarang, umat Islam menjadi peminta sedekah daripada badan-badan kebajikan Kristian di Eropah dan AS.

Bukan itu saja, bantuan tersebut yang disampaikan juga ada berkemungkinan turut bocor kerana rasuah.

Rasuah amat ditegah oleh Islam tetapi kebanyakan negara Islam menghadapi masalah korupsi yang berat. Banyak kakitangan kerajaan dan peniaga Islam di negara-negara Islam di seluruh dunia tidak beramanah. Sedangkan amanah amat dituntut oleh Allah.

Penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam khususnya di Aceh adalah bukannya kerana aktiviti alam yang mendatangkan tsunami tetapi kegagalan umat Islam menguasai ilmu sains, teknologi, politik dan ekonomi.

Iktibar yang hendak diambil daripada tragedi ini ialah perlunya mematuhi ajaran Islam khususnya dalam soal penguasaan ilmu, berpemikiran tinggi, berakhlak dan kepimpinan yang baik. Penderitaan Aceh dan kegagalan Indonesia adalah juga penderitaan dan kegagalan umat Islam sejagat.

Malaysia yang lebih berkedudukan baik daripada Indonesia masih tidak mampu menolong jiran dengan sepenuhnya. Dalam negara pun, yang mampu menderma lebih banyak bukannya orang Islam.
waalhu'alam..Renung2 dan fikir- fikirkan?

1 comments:

Muallim Adham said...

slm..
mmg betul apa yg diceritakan ini... bangkit lah wahai umat Islam...